Ahad, 14 Ogos 2011

PENCURI MENGAJAR AYAT KURSI

Hadis sahih bukhari, daripada Abu Hurairah ra, katanya :

Rasulullah SAW menugaskan saya menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Kemudian datang seseorang lalu diambilnya segenggam makanan. Saya tangkap orang itu dan berkata kepadanya, " Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah SAW."

katanya, "Saya memerlukan, kerana saya mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat."

Kata Abu Hurairah : Kerana itu saya lepaskan saja dia. Esok pagi Nabi SAW bertanya, " Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?" Jawabku, "Ya RAsulullah. katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Saya berasa kasihan dan saya lepaskan dia."

Nabi bersabda, " Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi."

Saya pun Yakin dia akan datang lagi, kerana kata-kata Rasulullah SAW itu, lalu saya intip dia. Memang benar, dia datang lagi, dan diambilnya segenggam makanan. Terus saya tangkap dia, sambil berkata, " Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah SAW."

Katanya, "Lepaskan saya. Saya sangat memerlukan, dan saya punyai keluarga. Saya tak akan buat lagi."

Saya berasa kasihan, lalu saya lepaskan dia. Esok pagi-pagi Rasulullah SAW bertanya saya, " HAi Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?" Saya jawab, " Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukan, dan dia mempunyai keluarga. Saya berasa kasihan dan saya lepaskan dia."

Nabi bersabda, " Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi."

Saya intip dia lagi untuk kali ketiga. Memang benar dia datang lagi dan diambilnya segenggam makanan. Lantas saya tangkap dia seraya berkata, " Aku akan adukan engkau kepada Rasulullah SAW. Ini kali ketiga engkau kata tak akan datnag lagi tetapi engkau datang juga."

KAtanya, "Lepaskan saya, nanti saya ajarkan kamu kalimah-kalimah yang diberikan manfaat oleh Allah, apabila kamu membaca kalimah itu." Kataku, " Apakah kalimah itu?"

Jawabnya, "Apabila kamu hendak tidur, bacalah Ayat Kursi (ayat 255 surah al-Baqarah). Maka kamu akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi."

Setelah itu saya pun lepaskan dia. Esok pagi Rasulullah SAW bertanya saya, " Apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?" Saya jawab, "Ya Rasulullah, dia mengajarkan saya beberapa kalimah yang katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang membacanya. Kerana itu saya lepaskan."

Nabi bertanya, "Apakah kalimah itu?" Jawabku, "DIa mengatakan kepadaku, apabila kamu hendak tidur bacalah Ayat Kursi dari awal hingga akhir, dan katanya, kamu akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitam tidak akan mendekatimu hingga ke pagi."

Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya dia telah benar kepadamu, padahal dia sangat pendusta. Tahukah engkau dengan siapa engkau bercakap selama tiga malam itu wahai Abu Hurairah?" Jawabku, "Tidak."

Sabda baginda, "Itulah syaitan."

disalin dari Diari Islam.

Sabtu, 13 Ogos 2011

Epilog Silam


Dalam mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku

Tuhan...Dalam menempuh hidup ini

Banyaknya dugaan datang menguji
Tuhan...Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal kuhindari

Tuhan...Dosaku menggunung tinggi

Tapi taubatku tak kutepati
Tuhan...Rahmat-Mu melangit luas
Terlalu sedikit kubersyukur

Kini ku kembali pada-Mu

Mengharap maghfirah dari-Mu
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-Mu
Kerna ku yakin kasih-Mu
Kekal tiada sudahnya...

Rabu, 10 Ogos 2011

Tazkirah Imam Ghazali


Suatu hari, Imam al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.
Imam al-Ghazali bertanya: "Apa yang paling penting dekat dengan diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang memberi jawapan ornag tua, guru, teman dan kerabatnya.

Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar, tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "MATI". Sebab itu sudah janji ALLAH s.w.t. bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Lihat ayat 185, surah Ali-Imran)

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan kedua: "Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab China, bulan, matahari dna bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar, tetapi yang paling benar adalah "MASA LALU". Walau hebat macam mana sekalipun kita, kita tidak boleh kembali kepada masa lalu. Oleh itu, kita harus menjaga hari ini dan hari akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

Lalu Imam al-Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga: "Apa yang paling besar di dunia ini?"

Ada muridnya yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar, kata Imam al-Ghazali tetapi katanya, yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "NAFSU" (Lihat ayat 179 dari Surah al-A'raaf). Oleh itu, kita harus berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu menjerumuskan diri ke lembah neraka.

Pertanyaan keempat: "Apa yang paling berat di dunia ini?" Ada yang menjawab baja, besi dan tidak kurang yang mengatakan Gajah. Semua jawapab benar, kata Imam al-Ghazali tetapi yang paling berat adalah memegang amanah. (Lihat ayat 72, Surah al-Ahzab) Tumbuhan, haiwan gunung malah malaikat juga semuanya tidak mampu ketika ALLAH s.w.t meminta mereka untuk menajdi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya melanggar perintah ALLAH sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan kelima: "Apa yang paling ringan di dunia ini?" Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan dedaun. Semua itu benar, kata Imam al-Ghazali, tetapi yang paling ringan di dunia ini ialah "meninggalkan solat". Gara-gara pekerjaan malah keletihan, kita meninggalkan solat.

Pertanyaan keenam ialah: "Apakah yang paling tajam di dunia ini?" Murid-muridnya menjawab dengan serentak iaitu pedan.

Benar kata Imam al-Ghazali, tetapi menurutnya yang paling tajam ialah "Lidah Manusia". Ini kerana melalui lidah manusia dengan mudah menyakiti hati dan melukai perasaan rakan sendiri. Wallahua'lam.   


Ahad, 7 Ogos 2011

Saudah Yang Sabar

Saudah binti Zam'ah adalah isteri kedua kepada Nabi Muhammad s.a.w. Beliau mempunyai akhlak yang mulia, sangat gemar bercakap benar dan banyak membuat amal kebaikan. Beliau juga tergolong di antara wanita Muslimah yang terhormat dan di antara orang terawal memeluk islam. Ibunya, Asy-Syamus binti Qais bin zaid bin Amru dari bani Najjar juga seorang Sayyidah yang mulia dan terhormat.

Ketika dipinang oleh Rasulullah, saudah sudah pun mempunyai lima orang anak, dan dalam setengah riwayat mengatakan enam orang daripada suaminya yang pertama iaitu sepupunya sendiri, As-Sakran bin Amru.

Apabila Saudah memeluk Islam, suaminya juga turut memeluk Islam yang kemudiannya sama-sama berhijrah ke Habsyah. Ada riwayat menyatakan As-Sakran telah meninggal di Habsyah dan setengah riwayat lagi menyatakan As-Syakran telah membawa balik Saudah ke Makkah. Setelah suaminya wafat, saudah dan anak-anak telah dijaga oleh bapanya Zam'ah bin Qais.

Pada suatu hari Saudah didatangi ileh temannya Khaulah binti Hakim As-Sulamiyah dan berkata kepadanya:
" Rasulullah telah mengutusku untuk meminangmu untuk dirinya!" terang Khaulah.

Saudah terasa tergoncang dirinya, ketika mendengar penerangan Khaulah itu. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Kemudian dengan penuh terharu dan hairan dia berkata:
"Aku berharap demi Allah supaya kau beritakan sahaja kepada ayahku," katanya.

Setelah Siti Khadijah r.a wafat, hidup Rasulullah menjadi kosong. Tiada teman dan saudara mara di sampingnya, yang boleh meringankan kesepiannya. Para sahabat berasa kasihan dan merasakan Rasulullah perlu berkawin lagi, namun tiada seorang pun dari mereka yang berani membuka mulut tentang hal itu.

Demikianlah masa terus berlalu sehinggalah Khaulah datang membuka pintu hati baginda untuk bernikah lagi sesudah wafatnya Siti Khadijah.

Khaulah bertanya kepada Rasulullah: "Tidakkah kau ingin menikah lagi ya Rasulullah?" 
Jawab Rasulullah: "Dengan siapa lagi sesudah Khadijah?" 
Khaulah berkata: "Dengan siapa kau inginkan gadis atau janda?"
Rasulullah: "Jika dengan seorang gadis, siapakah gerangannya?"
Khaulah menjawab: "Puteri dari orang yang Engkau cintai iaitu Aisyah bin Abu Bakar".

Kemudian baginda diam untuk beberapa saat dan kemudian bertanya: "Jika dengan seorang janda?" Jawab Khaulah: "Dia adalah Saudah binti Zam'ah, seorang wanita yang telah beriman kepada kau dan mengikuti apa yang kau bawa". 

Walaupun baginda menginginkan Aisyah akan tetapi terlebih dahulu Saudah yang dinikahi. Saudah menjadi satu-satunya isteri baginda setekah wafatnya Siti Khadijah selama tiga tahun atau lebih dan barulah kemudiannya Aisyah pula dinikahi.    

Isnin, 1 Ogos 2011

Titiskan Hanya Kepada-Nya


Semoga kita lebih menyayangi tiap titisan air mata kita selepas ini..Curahkanlah air mata hanya kepada yang Maha Esa.

Saidina Abu Bakar Al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh. Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan.

Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak. Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: “Letakkan pipiku di atas tanah.” Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: “Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?” Umar berkata lagi: “Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!”Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.

Rasulullah S.A.W suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau. Baginda S.A.W bersabda maksudnya: “Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa."Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.

Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.

Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur.
Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit. Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan. Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihanseksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini. Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal salih di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi? Menangis kerana ingatkan hari perhitungan.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)
 
Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.
 
Tanya dan lihat diri kita, pernahkah airmata kita mengalir untukNya...Sejauh mana kah kasih sayang KIta terhadapNya?? Menangislah UNTUKNYA, Hanya kepada ALLAH S.W.T