Ahad, 31 Julai 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Assalamualaikum semua....lama lagi kita dah nak menyambut bulan ramadhan tak sabar rasanya nie..pada bulan ramadhan kali ini mari lah kita sama-sama memperbanyakkan amal soleh kita kerana kita belum pasti lagi samaada kita sempat untuk sambut bulan ramadhan untuk tahun berikutnya...

Bulan Ramadhan bulan berganda.. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda... Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.


sahabat-sahabatku,


Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?


Sabda Rasulullah SAW.:

"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."

Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.


Nabi Muhammad saw pernah bersabda:

"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"

sahabat-sahabatku,


Bulan Ramadhan ini adalah anugerah ALLAH sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. ALLAH tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang ALLAH pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya ALLAH. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri

sendiri.

Sabda Rasulullah saw:

"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."

Wallahua'lam..

RUKUM ISLAM


Ertinya menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah melalui seluruh kehidupan kita, jiwa raga kita dan harta milik kita sehingga tertegaknya KEISLAMAN yang sempurna.

Mengucap Dua Kalimah Syahadat
"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya" Dengan syahadat, kita mengabdikan diri dengan hati sanubari dan dengan perakuan lidah kita bahawa Tuhan yang Maha Esa itu adalah Allah s.w.t dan Nabis Muhammad s.a.w itu adalah pesuruhnya.

Solat Lima Waktu Sehari Semalam
Dengan sembahyang, kita mengabdikan seluruh tubuh badan kita menyembah kepadaNya. Mulai dari lidah membaca, tangan bergerak, mata, telinga dan fikiran terpusat dengan mengikut susunan rukun sembahyang yang diajarkan oleh Nabi s.a.w

Mengeluarkan Zakat 
Dengan zakat, kita mengabdikan kepada Tuhan dengan menyerahkan sebahagian dari harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya mengikut agama.

Berpuasa Pada Bulan Ramadhan
  Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kita kepada Allah. Dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhi segala larangan-Nya, secara tidak langsung akan melahirkan rasa keinsafan di dalam peribadi kita serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t

Mengerjakan Haji Di Baitullah
Dengan mengerjakan Haji, kita menyembah Allah dengan harta kekayaan milik kita dan mengunjungi ke Baitullah kepada mereka yang mempunyai kemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

BERSOLAT, DOA BOLEH ATASI MASALAH TEKANAN


Apabila berdepan dengan masalah, lazimnya diri diselubungi tekanan, malah fikiran boleh menjadi celaru kerana memikirkan masalah yang tidak berpenghujung. Bagi meringankan tekanan, ada beberapa cara patut diketahui :-

  • Bersabar dengan segalan yang menimpa, "Wahai anakku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar, dan bersabarlah atas segala yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara yang dikehendaki melakukannya." (Luqman:17)
  • Anggap masalah itu sebagai satu ujian, yang akan meningkatkan keimanan dan ketabahan. Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cabaran)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta." (al-Ankabuut:2-3)
  • Setiap masalah ada hikmahnya, seperti dapat mengugurkan dosa. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seornag Muslim ditimpa penyakit, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya, seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
  • Kesulitan, masalah dan kesempitan akan menyedarkan manusia bertapa kerdilnya diri sebagai hamba, sekaligus menyedarkan diri akan keagungan dan kekuasaan Allah. "Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali." (al-Baqarah:156)
  • Adanya masalah, kesakitan dan kesusahan, membolehkan manusia membezakan di antara keselesaan (nikmat) dan kesengsaraan (bala). Jesteru, ketika inilah manusia dapat menjiwai serti kesyukuran.
  • Ujian adalah tanda Allah mencintai seseorang itu, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa dikehendaki Allah baginya kebaikan, akan diberikan cubaan kepadanya." (Hadis riwayat al-Bukhari)
  • Ingatlah masalah dan kesulitan yang kita hadapi lebih ringan dan lebih kecil daripada masalah yang dialami orang lain.
  • Menyedari hakikat, kehidupan tidak lari daripada masalah, cuma bezanya kecil atau besar masalah dihadapi. Jika masalah kecil bolehlah diselesaikan sendiri dan sekiranya besar, cubalah dapatkan mereka yang lebih berpengalaman untuk dikongsi bersama.

Sabtu, 16 Julai 2011

Jalan yang mana nak dipilih????? "Kuliah Agama atau Hiburan"

Seorang ustaz yang sedang mengajar dalam satu kuliah agama di sebuah masjid bersungut, kerana apa yang dilihatnya setiap kali dia mengajar, muka-muka itu juga.

Kebanyakkan yang datang mendengar kuliah agama sama ada di masjid atau pun di surau atau dimana sahaja, hanyalah orang-orang tua, orang-orang tua dan orang-orang tua. Ada ustaz suka guna istilah 'saluran 1' dan 'saluran 2' merujuk usia para pengundi yang masuk tahap 'usia emas'.

"Mana anak muda kita pergi?" tanya ustaz itu dalam satu kuliah agamanya pada suatu malam.

"Mereka  ini tidak minat kepada agama ke?" Tanya beliau lagi dengan nada berang dan agak meninggi juga.

Sebenarnya, apa yang dirungutkan oleh ustaz itu memanglah benar. Dimana pun kita pergi, kalau ada majlis-majlis yang berbentuk agama, anak-anak remaja dan anak-anak muda tidak ada yang mahu menjenggokkan muka. Sebaliknya, kalau ada majlis-majlis yang berbentuk hiburan, ada majlis makan-makan, penuh sesak anak-anak muda dalam majlis itu.

Malah ada juga orang-orang dewasa yang mendukung anak-anak kecil mereka awal-awal lagi sudah berduyun-duyun ke tempat hiburan itu. Lebih-lebih lagi kalau pertunjukkan dibuat secara percuma, beramai-ramai mereka dengan anak beranak ke tempat itu. Sembahyang Asar kemana, Maghrib kemana, semua tinggal belaka.

Jadi ibu bapalah yang menjadi contoh. Ibu bapalah yang menjadi teladan kepada anak-anak remaja ini. Kalau ibu bapa dan abang-abang dengan anak-anak berpusu awal-awal lagi, apatah lagi anak-anak remaja. Contoh teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa yang tidak mahu menjengokkan muka ke majlis-majlis pengajian ilmu agama, majlis-majlis taklim, majlis-majlis kuliah agama, apakah lagi anak-anak muda nak pergi ke?

Ustaz itu dengan nada yang agak marah berkata: "Kerana sikap ibu bapalah, menyebabkan anak-anak tidak ke masjlid dan ke surau, sama ada bersembahyang jemaah atau pun mengikuti pengajian agama."Kita lihat anak-anak muda sekarang begitu kurang ajar terhadap orang tua. Mereka tidak hormati. Mereka melakukan hal-hal dilarang agama dikhalayak. "Mereka tidak segan silu bercium di khalayak. Kenapa hal-hal ini berlaku? Jawapannya, kerana ibu bapa tidak menunjukkan teladan yang baik dalam kehidupan sehari-hari.

"Adakah para ibu bapa mengajar anak-anak mereka bersembahyang jemaah dirumah? Adakah para ibu bapa mengajak anak-anak mereka untuk menghadiri majlis agama, atau pun kuliah agama di masjid atau di surau? "Biasanya apa yang kita lihat kalau bapa ke surau hanya seorang diri sahaja. Isteri pun tidak ajak sama, apalagi anak-anak yang sudah meningkat remaja". Sebenarnya, apa yang diluahkan oleh ustaz ini memang benar. Kebelakangan ini, kalau hadir dalam majlis apa pun terutama majlis agama, majlis pengajian agama, hanya orang yang berusia 60 tahun keatas sahaja yang hadir.

Anak-anak remaja memang tidak ada langsung. Itulah sebabnya sebahagian dari anak-anak muda zaman ini tidak tahu biji butir tentang hukum agama. Barangkali mandi hadas pun mereka tidak tahu. Kalau mandi hadas mereka buta kayu, tentulah amalan-amalan lain gugur dengan sendirinya. Di akhirat nanti, selain dari yang punya diri akan ditanya oleh ALLAH, ibu bapa juga akan ditanya dan akan bertanggungjawab. Pernah diceritakan bahawa di akhirat nanti, bila seorang bapa atau pun ibu sudah dihisanb dan diputuskan masuk syurga, maka dalam perjalanannya ke syurga, tiba-tiba anak-anaknya memanggil "kenapa dia dimasukkan ke neraka sedangkan ayahnya tidak mengajarnya bagaimana mahu mandi junub?" 

Perjalanan ayah atau ibunya ke syurga itu tadi ditahan, kerana tanggungjawabnya di dunia kepada anaknya tidak ditunaikan. Anaknya tidak dididik agama dan tidak mengajar bagaimana mandi junub dan lain-lain didikan agama. Jadi tanggungjawab ini adalah anak itu sendiri dan ibu bapa tidak boleh terlepas.

Wallahu'alam..

"REMAJA YANG HATI MEREKA JATUH CINTA KE MASJID DIJAMIN OLEH ALLAH S.W.T. AKAN MENJADI PENGHUNI SYURGA, INSYA ALLAH!"

Jumaat, 15 Julai 2011

" BerSyuKuR "


 



Pernahkah kita mengucapkan rasa syukur kerana menetapkan di sebuah negara yang aman, beroleh keluarga yang penyayangdan memiliki kerjaya yang menjadi sumber rezeki kita setiap bulan?

Bersyukur adalah tindak balas yang baik sama ada melalui perkataan atau perbuatan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang. Tiada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran itu kecuali ALLAH kerana segala nikmat yang besar itu datang daripada-Nya.

Sebagai tanda bersyukur, hendaklah kita kekalkan baik sangka kepada-Nya serta meletakkan keyakinan kepada ALLAH semata-mata, diiringi dengan ketaatan dalam beribadah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Sesiapa yang memberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya. Sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenang budi yang diberi, ia dianggap sebagai kufur nikmat." (Riwayat Tabrani)

Kufur nikmat bermakna menderhaka kepada ALLAH, tidak menghargai pemberian-Nya, menyalahgunakan kemewahan, sewenang-wenangnya melakukan maksiat, sehingga membawa bencana pada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Malah tidak keterlaluan juga jika dikatakan, mereka ini tergolong dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi dan tidak tahu berterima kasih.

Ungkapkanlah rasa syukur dengan menjadi orang yang tahu membalas budi, memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat, bangsa, negara dan agama serta menjadikannya sebagai amal ibadat kepada ALLAH yang Esa.


Khamis, 14 Julai 2011

AKU IMPIKAN



Aku impikan diriku
yang sentiasa ghairah bertasbih
Mengadu Rindu kepada -Nya
Mengasihi-Nya jiwa dan raga
Mencintai-Nya sekuat hati

Aku impikan diriku
Yang sentiasa mengalirkan air mata
Akibat rinduku kepada Penciptaku
Akibat maluku yang sering membuat maksiat
Akibat segannya aku kerana sering menipu

Aku impikan diriku
Yang hatinya sentiasa bergetar
Apabila nama Tuhanku disebut
Jantungku berdegup kencang
Bila disebut azabnya
Tapi tenang semula
Apabila diceritakan tentang Kasih Sayang-Nya

Aku impikan diriku
Yang setiap detik mengingati-Nya
Akan nikmatnya yang tidak terhingga
Kerana aku tiada apa-apa
Dialah yang Maha Pemberi

Aku impikan diriku
Yang sentiasa bertawakal pada-Nya
Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buatku
Maha Suci dari menzalimiku
Kerana Dia Penciptaku
Yang penuh kecintaan-Nya kepada Makhluk-Nya