Ahad, 7 Ogos 2011

Saudah Yang Sabar

Saudah binti Zam'ah adalah isteri kedua kepada Nabi Muhammad s.a.w. Beliau mempunyai akhlak yang mulia, sangat gemar bercakap benar dan banyak membuat amal kebaikan. Beliau juga tergolong di antara wanita Muslimah yang terhormat dan di antara orang terawal memeluk islam. Ibunya, Asy-Syamus binti Qais bin zaid bin Amru dari bani Najjar juga seorang Sayyidah yang mulia dan terhormat.

Ketika dipinang oleh Rasulullah, saudah sudah pun mempunyai lima orang anak, dan dalam setengah riwayat mengatakan enam orang daripada suaminya yang pertama iaitu sepupunya sendiri, As-Sakran bin Amru.

Apabila Saudah memeluk Islam, suaminya juga turut memeluk Islam yang kemudiannya sama-sama berhijrah ke Habsyah. Ada riwayat menyatakan As-Sakran telah meninggal di Habsyah dan setengah riwayat lagi menyatakan As-Syakran telah membawa balik Saudah ke Makkah. Setelah suaminya wafat, saudah dan anak-anak telah dijaga oleh bapanya Zam'ah bin Qais.

Pada suatu hari Saudah didatangi ileh temannya Khaulah binti Hakim As-Sulamiyah dan berkata kepadanya:
" Rasulullah telah mengutusku untuk meminangmu untuk dirinya!" terang Khaulah.

Saudah terasa tergoncang dirinya, ketika mendengar penerangan Khaulah itu. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Kemudian dengan penuh terharu dan hairan dia berkata:
"Aku berharap demi Allah supaya kau beritakan sahaja kepada ayahku," katanya.

Setelah Siti Khadijah r.a wafat, hidup Rasulullah menjadi kosong. Tiada teman dan saudara mara di sampingnya, yang boleh meringankan kesepiannya. Para sahabat berasa kasihan dan merasakan Rasulullah perlu berkawin lagi, namun tiada seorang pun dari mereka yang berani membuka mulut tentang hal itu.

Demikianlah masa terus berlalu sehinggalah Khaulah datang membuka pintu hati baginda untuk bernikah lagi sesudah wafatnya Siti Khadijah.

Khaulah bertanya kepada Rasulullah: "Tidakkah kau ingin menikah lagi ya Rasulullah?" 
Jawab Rasulullah: "Dengan siapa lagi sesudah Khadijah?" 
Khaulah berkata: "Dengan siapa kau inginkan gadis atau janda?"
Rasulullah: "Jika dengan seorang gadis, siapakah gerangannya?"
Khaulah menjawab: "Puteri dari orang yang Engkau cintai iaitu Aisyah bin Abu Bakar".

Kemudian baginda diam untuk beberapa saat dan kemudian bertanya: "Jika dengan seorang janda?" Jawab Khaulah: "Dia adalah Saudah binti Zam'ah, seorang wanita yang telah beriman kepada kau dan mengikuti apa yang kau bawa". 

Walaupun baginda menginginkan Aisyah akan tetapi terlebih dahulu Saudah yang dinikahi. Saudah menjadi satu-satunya isteri baginda setekah wafatnya Siti Khadijah selama tiga tahun atau lebih dan barulah kemudiannya Aisyah pula dinikahi.    

Tiada ulasan:

Catat Ulasan