Jumaat, 10 Ogos 2012

Menjaga Tutur Kata ketika berpuasa

Menjauhi percakapan dan perkataan keji, kotor dan lucah serta menjauhi menipu, mengumpat, berkata karut dan sia-sia.

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila seorang dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah – sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam lagi: “Sesiapa yang tidak meninggalkan menipu dan beramal dengannya, maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak menerima puasanya.” (Hadis Riwayat Bukhari r.a.)

Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, bahawa orang yang berpuasa dan menjaga tutur-katanya itu pada hari kiamat kelak bau mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.

Memelihara Kesemua Anggota Badan ketika berpuasa:

Selain daripada menjaga pancaindera seperti lidahnya dari mencarut, berdusta dan mengumpat, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam juga menyeru kita memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syara’.

Dengan berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia, akan menjadikan ibadah puasa lebih ikhlas dan sempurna. Tidaklah membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, hanya memenatkan diri dengan berlapar dan merosakkan pahala puasa.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam: “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” (Hadis Riwayat An-Nasaei)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan